Loading...

Saturday, March 27, 2010

Kawalan motor dan pembelajaran motor

PSIKOMOTOR DAN PERGERAKAN

KAF2023

SEMESTER 2 (2009/2010)

KUMPULAN B

TAJUK ESEI:

KAWALAN MOTOR DAN PEMBELAJARAN MOTOR

AHLI KUMPULAN:

MOHD SYAFFIZAN B. MOHD ADAM D20082033938

TENGKU MOHD AL- HAFEZ D20082033940

MUHAMAD FARIH B.ISHAK D20082034008

COSMA MESEY ANAK LUMPOI D20082033966

AUDREY ANAK ANDING D20082033972

TERESA ANAK BELUN D20082033999

PENSYARAH: CIK NORLY BINTI JAMIL

1.0 Pengenalan

Sebaik sahaja bayi dilahirkan ke dunia, proses kawalan motor dan pembelajaran motor telah mula berlaku. Namun begitu proses kawalan motor lebih awal berlaku dari pembelajaran motor. Kawalan motor berlaku apabila sesuatu pergerakan bayi sama ada mengenggam, mengerakkan tangan, mengerakkan kaki dan sebagainya. Ia dinamakan refleksi primitif iaitu gerak balas yang tidak terkoordinasi atau di luar kesedaran bayi. Terdapat lima tahap kesedaran bayi yang setiapnya menunjukkan gerak balas bayi yang tidak terkoordinasi. Tahap kesedaran itu adalah semasa bayi sedang tidur nyenyak, tidur terganggu, mengantuk, sedar senyap dan sedar aktif dan gerak balas yang tidak terkoordinasi akan dapat dilihat pada setiap tahap tersebut. Gerak balas yang berlaku itu merupakan tindak balas semula jadi bayi terhadap rangsangan yang terdapat di dalam perekitaran bayi. Tindak balas tidak terkawal pada mulanya, akan menjadi semakin terkawal dan berlaku dengan sengaja apabila bayi membesar.

Menurut Hopkins dan Butterworth, (1997); Thelen dan Smith (1998), mereka mengatakan perkembangan motor bayi merangkumi kawalan pergerakan yang membantu bayi untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan memerlukan koordinasi sistem pergerakan yang kompleks dengan keupayaan berbeza disatukan, setiap kemahiran bekerjasama antara satu dengan lain untuk mengawal persekitarannya secara berkesan.

2.0 Definisi kawalan motor dan pembelajaran motor

Kawalan motor ialah bidang yang mengkaji postur dan pergerakan manusia serta mekanisme yang mengawalnya. Kawalan pergerakan ini dihasilkan oleh sistem biologi. Dalam kawalan motor, terdapat dua jenis lakuan motor iaitu lakuan motor tanpa kemahiran (Involuntari) dan lakuan motor berkemahiran (Voluntari). Lakuan pergerakan involuntari dihasilkan secara luar kawalan iaitu berlaku secara spontan dan dalam masa yang singkat. Contohnya pantulan lutut, tarikan tangan atau kaki apabila terkena benda panas. Mekanisme ringkas pergerakan involuntari terhadap pantulan lutut seperti rajah di bawah:

Mekanisme umum pergerakan involuntari seperti terpijak paku sistem reseptor akan menerima rangsangan di peringkat periferi dan ditukarkan kepada impuls. Rangsangan yang diterima oleh neuron sensori ditukar kepada impuls sensori. Selepas itu, impuls sensori dihantar ke sistem saraf pusat (peringkat rendah) dan diterima oleh impuls bersinaps dengan neuron motor di saraf tunjang. Impuls sensori bertukar menjadi impuls motor apabila bersinaps. Impuls motor di hantar ke efektor menghasilkan pergerakan. Sistem efektor menghantar maklumat impuls motor dan involuntari.

Lakuan pergerakan voluntari dihasilkan secara sedar atau dalam kawalan. Individu memilih dan menentukan untuk melakukan sesuatu pergerakan itu. Perlakuan ini dibina melalui bakat, pengalaman dan latihan. Mutu perlakuan yang dihasilkan dipengaruhi oleh faktor tahap kemahiran dan pengalaman. Contoh kanak-kanak belajar bermain badminton dan galakan orang tua serta guru akan mempengaruhi lakuan pergerakan ini.

Pengelasan kemahiran motor pula terdapat tiga kriteria untuk membezakan kemahiran motor iaitu ketepatan lakuan, ciri pergerakan dan stabiliti persekitaran. Ketepatan lakuan berdasarkan jenis atau saiz otot utama yang terlibat dalam menghasilkan pergerakan. Ia terbahagi kepada dua iaitu kemahiran motor kasar (penggunaan otot-otot besar) dan kemahiran motor halus (penggunaan otot-otot kecil). Ciri-ciri pergerakan pula ada tiga iaitu kemahiran diskrit, kemahiran berterusan dan kemahiran siri. Dihasilkan oleh individu secara terkawal atau luar kawal.. Kemahiran diskrit mempunyai titik permulaan dan titik pengakhiran yang spesifik. Ia melibatkan pergerakan pantas dan masa terhad. Contohnya kanak-kanak menendang bola. Kemahiran berterusan melibatkan pergerakan yang sama dan dilakukan berulang-ulang kali dengan titik mula dan titik akhir. Contohnya kanak-kanak berlari. Kemahiran bersiri adalah gabungan beberapa kemahiran diskrit yang dicantum secara bersiri. Terdapat fasa-fasa kepada pergerakan seterusnya. Contohnya melompat dengan kedua-dua kaki bagi kanak-kanak 5 tahun ke atas akan boleh melompat jauh dan melompat tinggi sekiranya mendapat latihan dan kemahiran yang sesuai daripada guru dan ibubapa. Stabiliti persekitaran pula adalah kemahiran yang berasaskan stabiliti persekitaran dan terbahagi kepada dua iaitu kemahiran luar kawal (open motor skill) dan kemahiran terkawal (closed motor skill)

Manakala pembelajaran motor pula memberikan definisi iaitu satu proses pembelajaran kemahiran secara berperingkat dalam proses perkembangan motor bayi. Proses berlaku secara semulajadi bagi bayi dan bermula pada sejak lahir hingga dewasa. Pembelajaran motor bayi berlaku dengan cepat dan lambat bergantung kepada bantuan dan bimbingan orang di sekeliling terutama ibu bapa. Pembelajaran motor kanak-kanak adalah pergerakkan motor yang diperolehi daripada pengalaman. Contoh apabila kanak-kanak dalam keadaan meniarap ternampak barang main di hadapan, kanak-kanak tersebut dengan spontan akan bergerak menggunakan kekuatan otot leher dan paha untuk bangun secara tiarap dengan bergerak untuk mencapai barang mainan.

2.1 Persamaan kawalan dan pembelajaran motor

Kedua-dua konsep kawalan dan pembelajaran motor melibatkan penggunaan motor kasar dan motor halus. Memerlukan pergerakan manusia dalam menguasai kedua-dua konsep ini. Memerlukan bimbingan dan sokongan daripada orang lain. Terdapat teori dan sistem bagi menjelaskan tentang kawalan dan pembelajaran motor. Kedua-dua konsep ini melibatkan proses dalaman untuk mengaktifkan pergerakan. Pada mulanya, kawalan motor akan berlaku dan seterusnya, pembelajaran motor mengambil tempat hingga akhir hayat manusia. Kawalan dan pembelajaran motor saling berkait antara satu sama lain.

2.2 Perbezaan kawalan dan pembelajaran motor

Kawalan motor

Pembelajaran motor

Definisi ialah bidang yang mengkaji postur dan pergerakan manusia serta mekanisme yang mengawalnya

Definisi ialah satu proses pembelajaran kemahiran secara berperingkat dalam proses perkembangan motor bayi

Berlaku secara semulajadi dan ada juga memerlukan latihan

Berlaku dengan latihan

Tempoh berlaku amat terhad

Tempoh berlaku sepanjang hayat

Terdapat dua lakuan kawalan motor

- Lakuan motor tanpa kemahiran

- Lakuan motor berkemahiran

Terdapat 2 proses pembelajran

- Peringkat motor-verba

- Peringkat motor

Terdapat system kawalan motor

- Kemahiran tertutup(closed loop

- Kemahiran terbuka(open loop)

Terdapat sistem pembelajaran motor

- J.A Adam -kemahiran tertutup (closed loop) - Richard Schmidt- teori skema

3.0 Otak

Otak merupakan komponen penting dalam kawalan dan perkembangan motor yang melibatkan beberapa bahagian struktur otak iaitu serebrum, serebelum, cabang otak (midbrain, pons dan medulla oblongata), basal ganglia dan diencephalon. Bahagian serebrum dan diencephalon terletak pada bahagian depan otak.

3.1 Bahagian Otak dalam Kawalan Otak


Rajah 1: Fungsi setiap bahagian korteks otak

i. Serebrum

Serebrum terbahagi kepada dua bahagian iaitu hemisfera otak kanan dan kiri yang dihubungkan melalui cabang hujung saraf yang dikenali sebagai corpus callosum. Kedua-dua hemisfera ini diselaputi oleh satu permukaan yang berwarna kelabu iaitu korteks cerebral. Setiap hemisfera otak dibahagikan kepada empat lobus iaitu lobus depan, lobus parietal, lobus occipital dan lobus temporal. Lobus depan merupakan kawasan anterior kepada pusat sulcus dan lateral fissure yang berfungsi mengawal pergerakan voluntari. Lobus parietal pula merupakan kawasan posterior kepada kawasan pusat fissure dan superior kepada lateral fissure yang mengawal penerimaan maklumat sensori. Lobus occipital berfungsi menerima maklumat deria penglihatan. Lobus keempat yang terletak dibawah lateral fissure memainkan peranan penting dalam daya ingatan, pemikiran abstrak dan pertimbangan. Kawasan sensori motor pada bahagian otak terletak pada pusat sulcus. Setiap maklumat deria yang diterima akan dipindahkan melalui saraf sensori kepada bahagian otak yang menerima jenis maklumat deria. Contoh maklumat deria yang diterima ialah rasa, percakapan, sentuhan, penglihatan dan pendengaran serta tekanan.

ii. Primary motor korteks

Primary motor korteks ini terletak pada lobus depan sebagai pusat sulcus yang mempunyai neuron motor iaitu axon yang membawa maklumat dari otak kepada otot tertentu. Bahagian ini berfungsi mengawal pergerakan dan koordinasi pergerakan dalam kemahiran motor. Contohnya, seorang pemain piano memerlukan kemahiran motor dengan memainkan jarinya diatas pepapan piano. Korteks motor juga melibatkan kawalan ke atas koordinasi postur badan(kajian Loffe, Ustinova, Chernikova & Kulikov, 2006).

iii. Premotor korteks

Bahagian ini berfungsi mengawal pergerakan dengan mengenal pasti rentak pergerakan yang ingin dilakukan terlebih dahulu. Selepas menerima arahan daripada otak, premotor akan mengarahkan maklumat yang diterima daripada otak ke bahagian otot untuk melakukan pergerakan yang diinginkan. Misalnya, pemain piano akan mengerakkan jari-jemarinya pada pepapan piano setelah bahagian otot jarinya menerima maklumat daripada otak. Terdapat pengkaji lain menunjukkan kepentingan premotor kortek dalam meningkatkan tahap kebolehan melalui pemerhatian daripada seseorang individu(Buccino et al. 2001). Kerosakan pada bahagian premotor kortek akan menyebabkan kehilangan kemahiran motor halus.

iv. Supplementary motor

Bahagian supplementary ini terletak pada bahagian atas permukaan lob depan yang bersebelahan dengan bahagian primer motor kortek. Bahagian ini amat penting dalam mengawal urutan pergerakan yang dilakukan (Parsons, Harrington, & Rao, 2005) dan di dalam persediaan mengatur pergerakan (Cunnington, Windischberger, & Moser, 2005). Sekiranya rosak pada bahagian ini akan meyebabkan seseorang itu hilang koordinasi badan.

v. Basal Ganglia

Peranan basal ganglia ialah merancang dan mengawal otot antogonis ketika bergerak serta mengawal tekanan.(Pope, Wing, Praamstie & Miall, 2005). Kedudukan basal ganglia terletak pada bahagian tengah otak. Basal ganglia menerima input daripada korteks motor dan cabang otak. Seseorang yang mengalami kecederaan pada bahagian ini, mereka akan mengalami penyakit Parkinson dan cerebral palsy akibat daripada kecelaruan basal gangiia (Loffe et al. 2006) serta mengakibatkan strok (Boyd & Winstein, 2004).

vi. Cabang Otak

Bahagian ini terletak di bahagian bawah hemisfera serebral yang menghubungkan kod spinal. Cabang otak mempunyai tiga kawasan untuk kawalan motor iaitu pon, medulla oblongata dan reticular formation. Cabang otak menerima input daripada kortek serebrum, serebelum dan basal ganglia dan semua reseptor sensori. Pon merupakan kawasan pertama dalam cabang otak yang terletak pada bahagian atas cabang otak yang bertindak sebagai penghubung antara korteks cerebral dan serebelum. Pon terlibat dalam dalam fungsi kawalan badan seperti mengunyah, menelan, menelan liur dan bernafas. Pon juga terlibat dalam kawalan keseimbangan badan.

Kawasan kedua ialah mendula atau dikenali sebagai medula oblongata yang merupakan bahagian tambahan kepada kod spinal yang berfungsi mengawal sistem fisologi dalam badan sperti proses respirasi, dan degupan jantung. Dalam pergerakan voluntary, medula berfungsi sebagai tempat laluan sensori corticospinal dan motor neural melalui saraf tunjang untuk menghantar maklumat daripada bahagian otot kepada serebelum dan korteks serebral.

Bahagian ketiga dalam cabang otak ialah reticular formation. Gabungan basal ganglia dan jaringan saraf merupakan penghubung penting dalam rantaian struktur neural diantara deria reseptor yang melalaui badan dan pusat kawalan motor di serebelum dan korteks cerebral. Reticular formation wujud dengan membawa maklumat sensori dan boleh menggunakan terus tindakan CNS untuk mengubah aktiviti CNS sama ada menghalang atau menambahkan aktiviti yang boleh mengubah tindakan aktiviti otot skeleton.

4.0 Teori Dinamik (Esther Thelen)

Esther Thelen merupakan pengasas Teori Dinamik yang mengkaji pergerakan bayi dengan menggunakan mikrogenetik yang dilekatkan pada tubuh badan bayi untuk mendapatkan bacaan longitud dalam kajiannya. Teori Dinamik Esther ini telah mengubah pandangan pengkaji lain dalam bidang psikologi kanak-kanak yang sama. Beliau begitu berminat dengan hasil data yang diperoleh dalam bentuk catatan minit yang selari dengan setiap perlakuan yang dibuat. Esther menggunakan perakam pergerakan yang berkuasa tinggi iaitu rekod elektromiografik untuk mendapatkan skala lakaran pergerakan bayi. Beliau mengkaji pergerakan bayi dari aspek tingkah laku bayi semasa melangkah dan mencapai sesuatu objek dengan penuh keyakinan untuk menerangkan bahawa sesuatu pembelajaran dan perkembangan bayi adalah perkara yang meluas. Beliau menerima ijazah sarjana di Universiti Missouri dalam bidang yang diceburinya iaitu mengkaji pergerakan perkembangan bayi. Pada tahun 1977, beliau menerima dokotr falsafah (PhD) dalam bidang sains biologi. Esther telah meninggal pada umur 63 tahun iaitu 26 Disember 2004.

Perkembangan psikologi kanak-kanak yang dikajinya melibatkan pengulangan tingkah laku yang kerap dan latihan pergerakan yang mempunyai persamaan dengan buah fikiran Piaget. Disertasi pertama Esther menggunakan kajian longitud dalam teorinya untuk mendapatkan hasil kajiannya. Setiap dua minggu sekali, beliau mengumpul kajian sebanyak 49 jenis perbezaan pergerakan stereotaip oleh seseorang bayi. Pergerakan bayi tersebut ialah pada bahagian tangan, kaki, kepala, muka, jari dan tubuh badan.

Kajian Esther dalam perkembangan bayi lebih banyak menjelaskan tentang tempoh sesuatu tingkah laku bayi seperti menendang, berjalan dan melangkah. Esther menggunakan caranya yang tersendiri untuk mengkaji teori dinamik yang berlaku dalam kanak-kanak. Tindak balas bayi berlaku secara berulang kesan daripada tingkah laku bayi walapun kaitan antara tingkah laku dan bayi dan masa sekarang dengan masa lepas masih tidak jelas (Thelen & Farish, 1977). Keadaan ini menyebabkan Esther ingin mengenali lebih lanjut tentang punca setiap perbuatan itu boleh muncul dan berubah mengikut peredaran masa.

Esther telah mencatatkan setiap tingkah laku bayi yang berlaku secara spontan untuk dua minggu sekali dalam tempoh tahun pertama bayi lahir. Tingkah laku bayi yang sentiasa didapati berulang ialah seperti melambai tangan, melompat-lompat, dan menendang kaki. Misalnya, bayi yang berumur tujuh hingga lapan bulan sedang dipegang oleh pengasuhnya dalam keadaan berdiri melompat-lompat apabila dia ingin berdiri di atas lantai. Hal ini berlaku kerana otot-otot kaki bayi tersebut masih belum kuat untuk berdiri dan menyebabkan bayi sedaya upaya untuk mendapatkan kekuatan atas dorongan daripada pengasuhnya. Setiap perkembangan tingkah laku bayi yang sentiasa kerap kali mempunyai perkaitan dalam menimbulkan fungsi motor. Misalnya, pergerakan menendang mempunyai kekerapan yang tinggi. Seterusnya diikuti oleh pergerakan melompat yang melibatkan bahagian kaki dan patung dan diikuti kekerapan pergerakan merangkak.

Esther lebih banyak mengkhususkan kajiannya terhadap tingkah laku menendang oleh bayi kerana lebih kerap berlaku. Selain itu, kajian Esther lebih banyak menunjukkan persamaan koordinasi antara tingkah laku menendang dengan berjalan pada umur umur bayi baru lahir. Gerak langkah bayi baru lahir akan hilang apabila mencecah umur tiga tahun dan seterusnya diikuti oleh gerakan menendang yang berlaku dengan kerap. Penkaji lain berpendapat bahawa kematangan pada pusat kotikal menghalang langkah refelks primitif dan akhirnya hilang pada sesuatu tempoh (Andre-Thomas & Autgaerden, 1996, Oppenheim, 1981, Peiper, 1963; Touwen, 1976).

Thelen, Fisher, dan Ridley Johnson (1984) menemui satu penemuan bahawa bayi yang memgalami pertambahan berat badan akan lebih cepat mengalami proses pemberhentian tingkah laku melangkah. Perbuatan ini dapat dikesan apabila kanak-kanak tidak berupaya kerana untuk membengkok dan melebarkan gerak langkah kaki semasa dalam keadaan menegak. Hal ini kerana otot bayi yang masih lemah tidak dapat menampung berat badan bayi yang berat. Satu demostrasi telah ditunjukkan oleh Esther dan rakan kolejnya dengan menjalankan kajian ke atas seorang bayi yang diletakkan didalam air sehingga paras punggung bayi itu. Melalui demostrasi itu, jelas menunjukkan frekuensi gerakan melangkah bayi meningkat secara mendadak kerana isi padu air tersebut mampu menampung berat tubuh bayi tersebut.


Bayi dilekatkan dengan mikrogenetik pada badannya yang diletakkan diatas treadmill untuk mendapatkan bacaan longitud semasa pergerakan bayi.

Rajah a. Menunjukkan langkah bayi baru lahir . Rajah b. Bayi sedang menendang. Rajah c. Bayi sedang berjalan didalam air setakat paras punggung.

Selain itu, Esther berpendapat bahawa pencapaian perkembangan tidak bergantung kepada satu faktor sahaja, malah melibatkan pelbagai komponen. Bayi memerlukan motivasi daripada pengasuh atau orang disekelilingnya untuk memberi dorongan kepadanya untuk menggalakkan dia mencapai dan menggenggam sesuatu objek. Bayi memerlukan kebolehan mengenal pasti tempat sesuatu objek itu berada dalam pandangan 3 dimensi (3-D). Selain memerlukan bayi harus memahami konsep ruang objek yang berada dalam pandangan 3-D, mereka juga memerlukan pergerakan yang sesuai untuk bergerak dari tempat duduk ke tempat objek itu untuk mencapai matlamat iaitu mencapai dan mengambil objek itu. Oleh itu, bayi perlu berupaya untuk mengangkat kaki dan menggerakkan tangan kearah objek untuk mencapai sesuatu objek dengan kedudukan kepala dan tubuh badan dalam keadaan stabil. Oleh itu, bayi memerlukan usaha sendiri untuk mencapai matlamatnya bagi mengetahui kelebihan dan memperbaiki kelemahan yang ada dari semasa ke semasa melalui tingkah laku yang dilakukan secara berulang. Misalnya, bayi yang berumur 8 bulan iaitu peringkat bayi sudah mula hendak berjalan. Bayi pada umur ini perlu diberi motivasi untuk memberinya keyakinan supaya dapat mecapai sesuatu objek yang diingininya seperti anak patung yang berada di atas sofa. Pengasuhnya perlu membiarkan anaknya berdiri dengan sendirinya dan melangkah kerana otot tubuh badannya telah kuat terutamanya kaki dapat menampung berat badannya. Latihan yang kerap akan membina kekuatan otot dari semasa ke semasa hasil daripada keinginan bayi yang ingin mencapai sesuatu objek.

Secara kesimpulan, perubahan perkembangan berlaku pada setiap inidividu. Tambahan lagi, pengalaman unik dan cabaran pergerakan yang dialami oleh bayi merupakan kaedah yang dapat mempercepatkan perkembangan kawalan motor dan pembelajaran motor. Melalu kajian demostrasi Esther jelas menunjukkan bayi mencapai kebolehan lebih daripada dinamik semula jadi bayi yang sebenar. Setiap pergerakan tangan yang dilakukan oleh bayi sukar dijangka untuk mencapai serta memilih sendiri jalan penyelesaian sendiri untuk memenuhi kehendak sendiri. Bagi mencapai matlamat ini, minda dan pergerakan haruslah bersatu untuk mencapai sesuatu matlamat seperti biomekanik badan, persekitaran sesuatu objek, ketangkasan dan tenaga yang diperlukan untuk menggerakkan tangan, dan postur badan. Postur badan dan pemikiran merupakan gabungan yang sempurna untuk mengenali setiap tingkah laku dan perkembangan kognitif (rujukan tambahan boleh dilihat; 1994, 1996, 1999, 2002; Spencer & Thelen, 2000; Spencer, Veveijken, Diedevich & Thelen, 2000)

5.0 Kemahiran tertutup (closed loop) dan kemahiran terbuka (open loop) (J. A. Adams)

5.1 Kemahiran tertutup

Arahan pergerakan

maklumbalas

Pusat kawalan pergerakan

Keberkesanan pergerakan


Kemahiran tertutup boleh didefinisikan sebagai kemahiran yang memerlukan proses maklumbalas sebagai rujukan bagi membolehkan pergerakan berlaku seperti yang telah dirancangkan. Kemahiran ini akan memberikan maklumat tambahan untuk pergerakan yang sedang berlaku dan membuat pembetulan sekiranya terdapat masalah daripada pergerakan yang sedang berlaku. Kemahiran tertutup ini memerlukan pengulangan. Contohnya apabila bayi yang berumur setahun yang memegang cerek. Kali pertama bayi memegang cerek,cerek itu sejuk maka bayi akan bermain dengan cerek tersebut. Sekiranya cerek itu panas, bayi akan menarik tangannya tetapi akan mengulangi semula perbuatan itu berulang kali.

Kemahiran tertutup berlaku secara perlahan dan berterusan dimana bayi akan melakukan pengulangan terhadap apa yang mereka pelajari misalnya turun naik tangga. Bayi yang baru mempelajari kemahiran ini mempunyai rangsangan untuk naik dan turun tangga sehingga mereka mahir dengan kemahiran tersebut.

Kemahiran ini berlaku bersama-sama memori jangka pendek yang melalui dua ciri iaitu maklumat sensori tentang perlakuan yang diingini dan maklumat sensori yang sedang berlaku. Sekiranya terdapat perbezaan maklumat, kesilapan akan dapat dikesan dalam pergerkan. Kemahiran ini juga berlaku pada jangka masa yang pendek dimana kanak-kanak itu hanya mengingatkan keadan itu sebentar sahaja dan boleh membiasakan diri. Pergerakan ini juga berlaku secara perlahan dan berterusan.

Kemahiran tertutup ini berlaku atas kerelaan bayi itu sendiri. Sekiranya bayi itu berminat terhadap sesuatu benda, dia akan mendapatkan benda tersebut manakala sekiranya dia tidak berminat, dia akan mengabaikan benda tersebut walaupun benda tersebut berada di depannya.

Arahan Pergerakan

5.2 Kemahiran terbuka

Pusat kawalan pergerakan

Keberkesanan pergerakan


Kemahiran terbuka boleh didefinisikan sebagai satu sistem kawalan dimana semua maklumat perlu dimulakan dan dirancang untuk memulakan pergerakan. Sebaik sahaja pergerakan bermula, pergerakan tersebut akan mengikut arahan asal dan tiada perubahan berlaku ke atas pergerakan. Kemahiran terbuka tidak memerlukan maklumbalas kerana proses ini tidak penting dan boleh diabaikan. Maklumat yang diterima boleh diteruskan atau sebaliknya. Misalnya semasa bayi itu baru belajar berjalan. Bayi perlu bimbingan daripada ibu bapa semasa belajar berjalan. Ibubapa perlu memimpin tangan bayi supaya bayi boleh berjalan. Kemahiran terbuka ini memerlukan jangka masa yang panjang.

Kemahiran terbuka ini berlaku atas kehendak dan keinginan bayi itu sendiri. Dimana bayi itu merancang dan memberi arahan ke otak untuk memulakan pergerakan. Kemahiran ini juga berlaku dengan bermatlamat. Contohnya sekiranya bayi itu hendak mendapatkan bola, dia akan berlari dan berusaha dengan matlamat untuk mendapatkan bola tersebut. Kemahiran ini dipelajari dengan cepat dan diskrit. Contohnya apabila bayi mula belajar bermain basikal, badminton dan menembak sasaran yang bergerak.

Kemahiran ini juga memerlukan memori jangka panjang dan memori jangka pendek iaitu memori yang sentiasa bergerak. Kemahiran ini tidak memerlukan tumpuan pada perlakuan. Ia berlaku dengan laju dan diskrit. Contoh pergerakan yang memerlukan kemahiran terbuka adalah belajar mengayuh basikal, main badminton, menembak sasaran yang bergerak, bermain bola dan berlari.

5.3 Persamaan dan perbezaan antara kemahiran tertutup dengan kemahiran terbuka

Persamaan antara kemahiran tertutup dan kemahiran terbuka adalah, kedua-dua kemahiran ini berlaku atas kehendak dan keinginan bayi itu sendiri. Sekiranya bayi itu berkehendakkan sesuatu, bayi akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan mainan itu.

Perbezaan antara kedua-dua kemahiran ini adalah, kemahiran tertutup memerlukan maklumbalas manakala kemahiran terbuka tidak memerlukan maklumbalas sebaliknya mempunyai matlamat. Misalnya apabila seseorang kanak-kanak itu bermain bola, kanak-kanak mempunyai matlamat untuk menjaringkan bola tersebut. Namum kemahiran tertutup dilihat dari segi maklum balas kanak-kanak tersebut bermain bola. Misalnya kanak-kanak mengawal bola tersebut supaya bola itu tidak jatuh ke dalam longkang. Di dalam pergerakan manusia, maklumbalas adalah maklumat aferen yang dihantar kepada reseptor sensori kepada kawalan pusat. Kegunaan maklumbalas adalah untuk mengemaskinikan maklumat kawalan pusat berhubung dengan ketepatan pergerakan semasa ianya sedang berlaku. Jadual di atas merujuk kepada keberkesanan yang membolehkan badan dan anggota badan untuk bergerak adalah salah satu sumber maklumbalas. Tetapi, dalam kekompleksan gerakan manusia, maklumbalas boleh datang dalam bentuk visual dan auditori sebagai reseptor deria.

Perbezaan yang kedua berkaitan dengan arahan pergerakan hasil daripada kawalan pusat. Dalam kemahiran terbuka yang tidak memerlukan maklumbalas semasa proses itu sedang berlaku, arahan yang mengandungi semua maklumat yang diperlukan untuk keberkesanan dikeluarkan sebagai gerakan yang dirancang. Walaupun maklumbalas itu dihasilkan dan disediakan, tetapi ia tidak digunakan untuk mengawal proses yang sedang berlaku. Hal ini disebabkan dalam proses kemahiran terbuka, mungkin tiada masa yang cukup untuk maklumbalas atau mungkin maklumbalas tidak penting dalam proses ini. Berbeza dengan kemahiran tertutup yang memerlukan maklumbalas. Proses ini bermula dengan hasil kawalan pusat sebagai permulaan arahan kepada keberkesanan yang memadai bagi memulakan pergerakan. Pelaksanaan wujud dan sempurna kepada gerakan adalah bergantung kepada maklumbalas maklumat yang sampai ke kawalan pusat. Dalam perkara ini, maklumbalas digunakan untuk membantu kawalan semasa proses sedang dijalankan.

6.0 Skema teori (Richard A. Schmidt)

Schidmt meragui teori yang dinyatakan oleh J.A. Adams. Beliau mengatakan manusia tidak mempelajari pergerakan yang tepat dan khusus. Sebaliknya manusia itu sendiri yang membentuk pergerakkan mereka secara terlebih dahulu.

Manusia berbuat begitu dengan meneroka pergerakkan tanpa mengira tepat atau tidak sesuatu pergerakkan yang dilakukan dan mempelajari bagaimana pergerakkan itu berkaitan dengan pergerakkan lain. Seterusnya manusia pula akan mempelajari bagaimana untuk membuat pelbagai pergerakkan dengan berpandukan cara atau had yang menentukan bagaimana sesuatu pergerakkan harus dibentuk.

Had dalam melakukan pergerakkan boleh digambarkan melalui gambar rajah iaitu parameter. Konsep parameter ini juga telah dikenalkan oleh Schidmt dalam melengkapkan lagi teori skemanya. Parameter adalah gambaran pergerakkan, iaitu kadar masa atau keseluruhan masa yang diperlukan untuk sesuatu pergerakkan itu dilakukan. Parameter mengikut Schidmt juga adalah tahap-tahap perkembangan otot yang sesuai untuk sesuatu pergerakkan dilakukan. Dengan adanya parameter tersebut, manusia dapat membentuk pelbagai pergerakkan dan mampu melakukan pergerakkan itu berdasarkan masa atau tahap perkembangan otot sesorang manusia. Selain itu, parameter juga adalah hubungan di antara kekerapan latihan yang dilakukan dengan hasil pergerakkan dan hubungan di antara kekerapan sensori motor yang digunakan dengan hasil pergerakkan.

Tambahan lagi, Schidmt juga berasa sangsi terhadap teori closed loop atau kemahiran tertutup oleh J.A. Adams. Dalam teorinya itu, Adams mengatakan ketepatan dan pengulangan pergerakkan akan lebih meningkatkan kemahiran dalam pergerakkan oleh seseorang manusia. Akan tetapi, teori Adams tersebut disangkal oleh Schimdt. Beliau mengatakan kemahiran dalam pergerakan juga boleh dipelajari kerana manusia sering melakukan pelbagai pergerakkan tanpa mengira ketepatan sesuatu pergerakkan. Akhirnya, dari situ muncullah Scheme Theory oleh Schidmt. Teorinya juga adalah hasil kajian teorinya dari Adams dan teori oleh tokoh lain dengan menyimpan mengekalkan bahagian yang berguna dan menggantikan atau menghapuskan bahagian-bahagian yang beliau rasakan sangsi tentang teori tersebut. Schimdt juga menyatakan bahawa Scheme Theory tersebut turut berdasarkan pengetahuan manusia tersebut sendiri tentang kawalan motor dan perkaitan konsep dengan idea untuk mempelajari tangkas atau perlahan sesuatu pergerakkan dilakukan.

Konsep Scheme Theory adalah teori yang terlama dalam bidang falsafah yang diperkenalkan oleh Head (1926) dan Bartlett (1932). Konsep teori tersebut ialah berdasarkan ingatan dan terdapat dua peringkat iaitu imbas kembali (recall) dan berdasarkan pengalaman (recognition) yang telah sedia ada. Schimdt (1975) telah menggunakan idea asas dari konsep teori tersebut untuk membentuk teori tentang bagaimana kemahiran motor dipelajari. Kedua-dua peringkat tersebut saling berkait rapat antara satu sama lain.

Peringkat pertama dikenali sebagai imbas kembali kerana membantu dalam menghasilkan pergerakan. Contohnya seorang kanak-kanak memerhati bagaimana cara seorang lagi rakannya melambung bola, kemudian apabila tiba gilirannya, kanak-kanak tersebut akan mengimbas kembali cara rakannya tadi melambung bola. Dari itu, kanak-kanak tersebut tadi dapat mempelajari bagaimana cara untuk melambung bola.

Pemerhatian daripada peningkatan kemahiran yang diperoleh berdasarkan peringkat imbas kembali tadi akan ditunjukkan di dalam parameter. Aktiviti tadi akan diulang sehingga kanak-kanak tersebut tadi dapat mencapai kemahiran dalam melambung bola. Maka, dalam parameter akan menunjukkan bahawa semakin banyak latihan melambung bola dibuat, semakin meningkat kemahiran yang telah dicapai (dilihat pada movement outcome).

Peringkat yang kedua adalah kawalan dan pembelajaran motor berdasarkan pengalaman yang sedia ada. Pergerakan motor ini dipengaruhi oleh persekitaran dan sensori motor tersebut sendiri. Pengerakan ini juga berkait rapat dari peringkat yang pertama tadi kerana latihan tadi akan mewujudkan pengalaman kepada diri seseorang. Contohnya, seorang kanak-kanak tadi telah berjaya dalam mencapai kemahiran melambung bola, kemudian, pada minggu berikutnya jika disuruh menunjukkan cara melambung bola, kanak-kanak tersebut dapat melakukannya dengan baik tanpa guru perlu memberi demonstrasi dulu. Kanak-kanak tersebut juga telah berjaya menggunakan sensori motornya apabila beliau berjaya melakukan sesuatu pergerakkan dan pada masa yang sama pergerakan itu adalah keinginan kanak-kanak itu sendiri. Kejayaan tersebut juga dapat ditunjukkan dengan menggunakan parameter, iaitu semakin banyak sensori motor yang digunakan, semakin banyak pergerakkan yang banyak dilakukan.

Menurut Scheme Theory, terdapat banyak faedah dalam menghasilkan pergerakkan yang mempunyai banyak kesilapan atau tidak tepat berbanding pergerakkan yang sentiasa dilakukan dengan tepat. Hal ini kerana ia dapat mengajar seseorangi individu untuk belajar dari kesilapan. Contohnya, seseorang kanak-kanak yang sedang berlatih untuk berjalan. Misalannya, terdapat objek yang ingin dicapainya (objek adalah matlamatnya). Dalam proses tersebut, kanak-kanak tersebut akan cuba bangun berjalan tetapi tidak sampai beberapa minit telah terduduk kembali, kemudian beliau akan cuba bangun lagi, berjalan beberapa langkah dan terjatuh. Jika aktiviti ini sentiasa diulang dengan menggunakan objek lain untuk menarik perhatiannya, kanak-kanak itu akan dapat meningkatkan kemahirannya dalam berjalan secara beransur-ansur. Secara tidak langsung, kanak-kanak dapat mempelajari motor dan dapat mengawal motornya.

7.0 Kesimpulan

Seperti yang diketahui, pembelajaran motor dan kawalan motor berlaku kepada manusia sejak daripada lahir lagi. Perkembangan motor dan kawalan motor motor mempunyai banyak persamaannya. Namun begitu ia juga mempunyai perbezaannya. Secara umumnya pembelajaran motor dan kawalan motor melibatkan pergerakan dan pengunaan motor kasar dan motor halus.

Otak pula memainkan peranan penting dalam pembelajaran motor dan kawalan motor. Otak mempunyai bahagian tertentu yang mempunyai fungsi yang berbeza bagi mengawal pembelajaran motor dan kawalan motor.

Kawalan motor adalah satu perkara yang awal terjadi kepada bayi kemudian akan diikuti oleh pembelajaran motor yang akan berlaku sehingga akhir hayat manusia. Kawalan motor dan pembelajaran motor sememangnya sesuatu perkara yang ada pada manusia yang tidak dapat dipisahkan kerana ianya saling berkait antara satu sama lain.

Demi meningkatkan kemahiran kawalan motor dan pembelajaran motor, sebagai seorang guru mahupun ibu bapa perlu melatih kanak-kanak sejak dari lahir lagi. Latihan pula haruslah dipelbagaikan mengikut umur dan bersesuain dengan kanak-kanak.

Bibliografi

Essa, Eva (1999). Introduction to early childhood. New York: Delmar

Maggil, Richard A. (2001). Motor learning: concept and applications. Borton: McGraw-Hill

O’Brien, Maureen dan Tippins, Sherill (20020. Watch me grow: I’m one-two-three: a parent’s essential guide to the extraordinary toddler to preschool years. New York: Quill

Richard A. Schidmt. Diperolehi pada Febuari 2, 2010 dari http://moon.oshsc.edu/dthompso/mtrlrng/schidmt.htm

Schidmt, Richard A. (1991). Motor learning and performance: from principles to practice. Champaign: Human Kinetics Books.

Schidmt, Richard A. dan Lee, Timothy D. (2005). Motor control and learning: a behavioural emphasis. Champaign: Human Kinetics Books

No comments:

Post a Comment